Friday, November 2, 2012

Perlaksanaan Sumpah 3 : Selepas Sumpah Berlaku


        i.            Selepas sumpah berlaku
Al-Quran juga menggariskan panduan selepas berlakunya sumpah iaitu; yang pertama ialah perintah supaya tidak menyalahi atau mengingkari sumpah yang telah dibuat, dan yang kedua ialah larangan menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebajikan.

Pertama: Perintah supaya tidak melanggar sumpah yang telah dilafazkan
Apabila seseorang melafazkan sumpah dengan nama Allah, secara automatik seseorang itu telah menyandarkan perkataannya kepada Allah bahawa apa yang dikatakan itu benar, ataupun dia telah berjanji bahawa dia akan melakukan apa yang dia perkatakan. Terdapat ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa apabila seseorang telah melafazkan sumpah, dia dilarang untuk melanggar atau mengingkari sumpahnya. Ini sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala:
وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدْتُمْ وَلَا تَنْقُضُوا الْأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلًا إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
Maksudnya“dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa Yang kamu lakukan.” (surah an-Nahl: ayat 91).

Ayat ini diturunkan kepada ahli Madinah yang telah berbai’ah (mengikat perjanjian) dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka diperintahkan untuk tidak mengingkari bai’ah tersebut dan diperkukuhkan lagi janji tersebut dengan sumpah ke atas diri mereka sendiri, dan supaya mereka tidak membatalkan sumpah mereka dan melakukan pendustaan serta menyalahinya. (at-Tabari, jilid17: 281).

Ibnu kathir menjelaskan maksud الْأَيْمَان di dalam ayat ini bermaksud sumpah yang terkandung di dalam perjanjian. (Ibn Kathir, jilid4: 598). Imam al-Alusi mengatakan bahawa ‘العهد’ di dalam ayat di atas mempunyai kebangkalian membawa maksud sumpah sepertimana disebut dalam tafsirnya: berlaku pengulangan di dalam ayat ini antara perintah menepati janji dan larangan menyalahi sumpah adalah saling berkait, ini kerana perintah untuk melakukan sesuatu lazimnya membawa maksud larangan untuk meninggalkannya. (Imam al-Alusi, jilid7: 457).  Imam al-Baidhawi pula menyebut secara mutlak bahawa maksud ‘الأيمان’ di dalam ayat di atas ialah أيمان البيعة  (sumpah yang berlaku di dalam perjanjian). (al-Baidhawi, jilid3: 238).

Melalui penafsiran para ulama tafsir berkenaan ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran melarang seseorang menyalahi sumpahnya atau membatalkan sumpahnya sekiranya dia telah melafazkan sumpah tersebut sama ada sumpahnya itu untuk mengukuhkan sesuatu perjanjian, ataupun untuk membuktikan sesuatu yang diperkatakan itu adalah benar. Ini kerana apabila seseorang telah menyandarkan perkataannya atau perjanjiannya dengan nama Allah, maka dia tidak boleh menyalahinya kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa seseorang itu telah mempermain-mainkan nama Allah SWT yang mulia sedangkan tidak sepatutnya kita sebagai hamba-Nya memperlakukan sebegitu.

Kedua: Larangan untuk menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebajikan
Di dalam al-Quran terdapat larangan  menjadikan sumpah yang sudah dilafazkan itu sebagai penghalang untuk kita melakukan kebaikan atau kebajikan. Apa yang dimaksudkan dengan kebaikan atau kebajikan  ialah segala perbuatan yang mendekatkan diri kita kepada Allah swt seperti membantu orang lain, menghubungkan silaturrahin dan sebagainya. Allah swt telah menyebut berkenaan perkara ini di dalam firman-Nya:
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: (dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui. (surah al-Baqarah:ayat224)

Sepertimana yang disebut di awal artikel, ayat ini mengandungi dua maksud. Yang pertama membawa maksud  larangan terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah dalam semua perkara yang benar ataupun batil. Yang kedua membawa maksud larangan menjadikan sumpah atau nama Allah sebagai penghalang untuk seseorang itu melakukan kebaikan atau kebajikan.

Di dalam kata lain, Allah memberitahu kepada kita bahawa apabila kita bersumpah, janganlah sehingga sumpah kita itu dijadikan sebagai  alasan untuk kita tidak berbuat baik kepada orang lain ataupun tidak melakukan kebajikan yang mendekatkan diri kita kepada Allah swt.

Imam at-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: “Dan janganlah kamu jadikan nama Allah sebagai ‘illah atau alasan, lalu apabila salah seorang daripada kamu mahukan kebaikan dan islah di antara manusia dia berkata: ‘aku telah bersumpah dengan nama Allah untuk tidak melakukannya (kebaikan yang dituntut)’, lalu dia menjadikan sumpahnya sebagai sebab untuk meninggalkan perbuatan baik tersebut”. (At-Tabari, jilid4: 419).

Justeru, perbuatan menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan adalah dilarang sama sekali. Ini kerana di dalam ayat ini Allah menyebutkan 3perkara yang mana ketiga-tiga perbuatan ini merupakan perkara yang sukar untuk manusia lakukan iaitu berbuat baik, bertaqwa dan mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan orang yang menjadikan nama Allah sebagai penghalang untuk berbuat kebaikan seolah-olah dia menjadikan Allah sebagai penghalang di antara dirinya dan perbuatan baik tersebut sedangkan Allah adalah pemilik segala kebaikan dan Allah menghendaki supaya manusia memelihara perbuatan baik, taqwa dan mengislahkan manusia. Oleh kerana itulah Allah melarang seseorang daripada menjadikan sumpah sebagai penghalang dalam melakukan kebaikan. (as-Sya’rawi, jilid2: 970-971).

Percanggahan antara dua perintah
Di dalam perkara ini, seolah-olah wujud perselisihan ataupun percanggahan di antara dua perkara. Pertama adalah berkenaan dengan perintah Allah supaya tidak melanggar sumpah setelah seseorang bersumpah dengan nama Allah. Perkara kedua adalah berkenaan dengan larangan menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, lalu jika dia telah bersumpah maka dia perlu membatalkan sumpahnya dengan membayar kaffarah.  

Secara zahirnya, terdapat percanggahan diantara kedua-dua perintah ini. Tetapi jika diamati, sebenarnya setiap perintah mempunyai kondisi dan keadaan yang berbeza. Antara dalil yang menunjukkan bahawa tiada percanggahan di antara kedua perintah ini adalah seperti berikut:
Pertama:  Ayat pertama dari surah an-Nahl:ayat 91 merupakan sumpah yang terkandung di dalam sesuatu perjanjian. Apabila seseorang melakukan perjanjian dengan pihak lain serta dikuatkan dengan sumpah yang disandarkan dengan nama Allah, maka dia tidak boleh melanggar penjanjiannya dengan pihak yang telah disepakatinya. Dan ayat ini hanya berlaku dalam konteks perjanjian, tidak dalam perkara lain seperti bersumpah untuk menggalakkan sesuatu atau melarang sesuatu.

Kedua: ayat yang memerintahkan supaya memelihara sumpah seperti yang disebut dalam surah al-Maidah: ayat 89 ialah dalam konteks perintah apabila seseorang melanggar sumpah hendaklah dia tidak meninggalkan sumpahnya tanpa membayar atau melaksanakan kaffarah setelah itu. (Ibn Kathir, jilid4:598). Oleh itu, dibolehkan meninggalkan atau mambatalkan sumpah dengan syarat dia mestilah membayar kaffarah terhadap sumpah yang telah dimungkiri atau dibatalkan tersebut.

Ketiga: Saidina Abu Bakar Radiyallahu a’nhu pernah bersumpah untuk tidak memberi perbelanjaan kepada Misthah bin Uthatah lagi setelah dia terlibat bersama beberapa orang yang menyebarkan berita fitnah ke atas Sayyidatina Aisyah Radiyallahu anha. Beliau telah bersumpah dengan nama Allah untuk tidak lagi menginfakkan harta kepada Misthah tetapi setelah Allah swt menurunkan ayat 22 dari surah an-Nur, beliau  telah membatalkan sumpahnya dengan mengembalikan semula nafkah kepada Misthah sepertimana biasa. (al-Bukhari, Hadith no. 6679, jilid 8: 137). Apa yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar Radiyallahu ‘anhu menunjukkan bahawa sumpah boleh dibatalkan sekiranya sumpah itu menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan.

Oleh itu, penulis melihat bahawa tiada percanggahan yang wujud antara perintah untuk tidak melanggar sumpah dengan larangan untuk tidak menjadikan sumpah sebagai penghalang seseorang melakukan kebaikan.

Kesimpulannya, sekiranya seseorang telah bersumpah maka dia tidak boleh membatalkan sumpahnya kecuali sekiranya ia merupakan perkara yang menghalang seseorang untuk berbuat kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah. Apabila seseorang telah membatalkan sumpahnya, dia hendaklah melaksanakan kaffarah  dengan memilih salah satu dari empat perkara iaitu memberi makan 10 orang fakir miskin, memberi mereka pakaian atau memerdekakan hamba. Sekiranya tidak mampu untuk melaksanakan ketiga-tiga perkara ini, maka seseorang itu dibolehkan untuk berpuasa selama 3hari berturut-turut.

Tulisan asal:
Panduan al-Quran Berkaitan Perlaksanaan Sumpah
Norwardatun Mohamed Razali
UIAM


Perlaksaan Sumpah 2 : (Semasa Sumpah Berlaku)


        i.            Semasa sumpah berlaku
Apabila seseorang bersumpah dengan nama Allah, maka ada perkara yang perlu dijaga ketika sumpah tersebut dilaksanakan. Di dalam al-Quran, Allah subhanahu wa ta’ala memerintahkan kepada orang Islam agar memelihara sumpahnya daripada terlibat dengan sumpah dusta, ataupun membatalkan sumpah yang telah dibuat. Ini berdasarkan beberapa uslub dari ayat-ayat al-Quran yang boleh kita lihat dalam dua bentuk iaitu uslub secara langsung dan uslub secara tidak langsung.


Pertama: Uslub Secara langsung
Uslub secara langsung bermaksud ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan secara langsung tentang perintah untuk memelihara sumpah. Ini adalah sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya:
وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ
Maksudnya: “Peliharalah sumpah kamu” (Surah al-Maidah: ayat 89)

Ayat ini didahulukan dengan menyebut berkenaan kaffarah sumpah yang empat dan diikuti selepas itu perintah supaya orang yang melaksanakan sumpah  memelihara sumpahnya. Memelihara sumpah di dalam ayat ini bermaksud tidak membatalkan sumpah yang telah dibuat ataupun membawa maksud tidak menunaikan sumpah yang telah dilafazkan. Larangan ini bertujuan untuk memelihara orang yang bersumpah daripada jatuh kepada kesusahan untuk melaksanakan kaffarah yang berat untuk dilaksanakan sekiranya dia membatalkan sumpahnya.

Ini adalah sepertimana yang dikatakan oleh imam at-Tabari: “Dan peliharalah sumpah kamu daripada perbuatan membatalkannya, yang kemudiannya akan mengakibatkan kamu susah untuk melaksanakan kaffarah”. (at-Tabari, jilid1: 562).  Ini juga dikuatkan dengan kata-kata Imam ar-Razi ketika mentafsirkan ayat ini beliau berkata: hendaklah memelihara sumpah daripada perbuatan membatalkannya, supaya kamu tidak perlu untuk melaksanakan kaffarah. (ar-razi, jilid12: 423).

Kedua: Uslub secara tidak langsung:
Di dalam ayat lain pula secara tidak langsung Allah memerintahkan agar memelihara sumpah daripada jatuh kepada sumpah dusta. Ini berdasarkan beberapa ayat yang menceritakan bagaimana orang-orang kafir dan munafik ketika zaman Nabi sallallahu a’laihi wa sallam menggunakan sumpah berdasarkan tujuan yang berbeza, antaranya dengan tujuan untuk menyembunyikan kedustaan mereka. Di antara ayat ini adalah seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala:

وَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ إِنَّهُمْ لَمِنْكُمْ وَمَا هُمْ مِنْكُمْ وَلَكِنَّهُمْ قَوْمٌ يَفْرَقُونَ
Maksudnya: “dan mereka (yang munafik itu) bersumpah Dengan nama Allah Bahawa Sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum Yang pengecut.” (surah at-Taubat: ayat56).

Ayat di atas menunjukkan bahawa orang munafik bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka adalah dari golongan mukminin. Dan di dalam ayat ini, Allah telah mengkhabarkan kepada orang mukminin bahawa orang munafik sebenarnya telah berdusta di dalam sumpah mereka dan mereka bukanlah sebahagian dari golongan mukminin sebaliknya mereka adalah dari golongan yang ragu-ragu dan munafik. Mereka bersumpah hanyalah kerana takut sekiranya orang Mukminin memperlakukan mereka sepertimanadiperlakukan kepada orang muyrikin, lalu mereka menzahirkan Islam sedangkan dalam hati mereka mengingkari. (Al-Baidhawi, jilid 3: 85).

Di dalam ayat lain pula, disebutkan sumpah yang berlaku dari golongan munafiq dari kalangan orang Yahudi, sepertimana disebut di dalam firman Allah swt:
إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya:  “Sesungguhnya orang yang memperjualbelikan janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga murah, mereka itu tidak memperoleh bahagian di akhirat, Allah tidak akan menyapa mereka, tidak akan memerhatikan mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih”. (surah Ali-Imran: ayat77)

Ayat ini diturunkan sepertimana diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, bahawa al-Asy’as bin Qais berkata: “Antara aku dan seorang lelaki dari kalangan Yahudi mempunyai tanah lalu dia membantahinya, lalu aku membawakan hal tersebut kepada Baginda SAW,  lalu Rasulullah SAW berkata kepadaku: Adakah kamu mempunyai bukti? Aku menjawab: tidak. Lalu baginda SAW berkata kepada Yahudi tersebut: Bersumpahlah. Dan aku berkata: Wahai Rasulullah, sekiranya dia bersumpah, dia akan bawa pergi hartaku sekali. Lalu turunlah ayat di atas.” (al-Bukhari,  jilid3: 121).

Menurut Imam at-Tabari, ayat ini menceritakan tentang sumpah dusta yang dilakukan oleh orang yahudi yang menggantikan janji mereka kepada Allah subhanahu wa ta’ala dengan sumpah dusta mereka, lalu menghalalkan apa yang diharamkan Allah subhanahu wa ta’ala kepada mereka daripada harta yang diamanahkan kepada mereka semata-mata untuk mengaut keuntungan dunia dan seisinya. (at-Tabari, jilid6: 527).

Terdapat juga ayat-ayat lain yang tidak disebutkan di sini yang mana ia menunjukkan sumpah dusta yang dilakukan oleh orang Yahudi dan golongan munafik, juga mereka yang mengingkari janji yang disandarkan dengan sumpah kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Tidak cukup dengan itu, ayat-ayat tersebut menunjukkan ancaman keras daripada Allah subhanahu wa ta’ala terhadap golongan Yahudi dan munafik yang melakukan sumpah dusta dengan ancaman dijauhkan dari mendapat nikmat di akhirat kelak dan akan di azab dengan azab yang pedih.

Melalui dua uslub yang diterangkan di atas, dapat kita simpulkan bahawa ketika sumpah sedang berlaku, seharusnya kita sedar tentang amaran ini serta mengelakkan diri kita daripada jatuh kepada sumpah dusta ataupun jatuh kepada tidak memelihara sumpah dengan sebaik-baiknya. Ini kerana kedua-dua perkara ini akan menambah kesusahan kepada pelakunya sekiranya seseorang itu hanya memandang perintah ini sebagai sambil lewa disebabkan hukuman dan azab bukan hanya di dunia tetapi juga berterusan hingga ke akhirat. 

Perlaksanaan sumpah di dalam al-Quran (Sebelum berlakunya sumpah)


Di antara hukum yang dijelaskan terperinci berkaitan mu’amalat di kalangan manusia di dalam al-Qur’an adalah perlaksanaan sumpah. Al-Qur’an berperanan sebagai petunjuk dan hidayah buat umat manusia seluruhnya. Ketika mana seseorang mahu melaksanakan sesuatu perkara, dia perlu kembali kepada al-Quran supaya dia tidak lari dari garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Para Fuqaha’ telah membincangkan dengan panjang lebar berkaitan perlaksanaan sumpah dari segi hukum, pembahagiannya dan penjelasan tentang kaffarah secara terperinci di dalam empat mazhab.  Ini kerana fuqaha’ lebih kepada mengeluarkan hukum bagi sesuatu perkara. Adapun perbicangan dari sudut bagaimana al-Quran mendidik masyakat dengan memberi kefahaman yang jelas berkaitan sumpah tidaklah dibincangkan begitu meluas terutamanya bagaimana adab kita selaku hamba Allah Subhanahu wa ta’ala  ketika menyandarkan kata-kata kita kepada sebuah sumpah yang terikat dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala  yang Mulia.

Apabila kita merujuk al-Quran, perlaksanaan sumpah ini tidak lari daripada tiga keadaan; sebelum berlaku sumpah, ketika berlaku sumpah dan selepas berlaku sumpah. Dalam setiap kondisi atau keadaan ini, al-Quran memberikan panduannya yang tersendiri untuk membolehkan kita beramal dengan betul tanpa melebihi batas panduan yang telah ditetapkan.

        i.            Sebelum berlakunya sumpah
Sebelum seseorang melafazkan atau mahu menyandarkan kata-katanya dengan sumpah yang terikat dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala, al-Quran telah menggariskan beberapa panduan berkaitan dengannya. Penulis dapati terdapat dua perkara yang menjadi asas atau pengetahuan kepada seseorang sebelum dia melaksanakan sumpah.

Pertama: Mengelakkan diri dari bersumpah dengan nama Allah
Apabila seseorang bersumpah, dia telah menyandarkan kata-katanya dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala, sedangkan nama Allah Subhanahu wa ta’ala itu seharusnya dipelihara daripada unsur-unsur dipermain-mainkan atau gurau senda.

Terdapat ayat al-Quran di mana Allah Subhanahu wa ta’ala melarang  manusia untuk terlalu banyak bersumpah kerana ia boleh membawa kepada mempermain-mainkan nama Allah Subhanahu wa ta’ala. Ini adalah sepertimana yang disebut di dalam firman-Nya:
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “(dan janganlah kamu jadikan nama) Allah Dalam sumpah kamu sebagai benteng Yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui.” (surah al-Baqarah:ayat 224)

Ahli bahasa mentafsikan kalimah العرضة membawa dua maksud:
Pertama           :  (المانع) penghalang
Kedua             : terlalu banyak menyebut. (Ibn Manzur, Jld7:178)

Adapaun ahli tafsir ketika mentafsirkan ayat ini mereka juga menfsirkan dengan dua maksud; maksud yang pertama ialah janganlah menjadikan nama Allah sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan dan maksud yang kedua adalah jangan kamu terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah dalam perkara yang benar dan batil. Ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Alusi dan Imam al-Razi serta ahli tafsir yang lain.

Imam al-Alusi ketika mentafsirkan ayat di atas menyebut bahawa kalimah العرضة  membawa dua maksud, dan salah satunya ialah: “Dan janganlah kamu menjadikan Allah sandaran untuk sumpahmu sehingga dengannya menyebabkan kamu bermain-main dengan banyak bersumpah pada semua perkara yang benar ataupun batil kerana ia adalah satu bentuk daripada mempermainkan nama Allah swt”. (al-Aalusi, jld1: 520)

Imam al-Razi pula mengaitkan perbuatan banyak bersumpah ini dengan perbuatan mempermain-mainkan nama Allah: “Allah melarang mempermain-mainkan nama-Nya dengan terlalu banyak bersumpah”. (al-Razi, jld 6:424).

Daripada ayat yang disebutkan di atas jelas menunjukkan kepada kita  bahawa Allah subhanahu wa ta’ala melarang kita daripada menggunakan nama-Nya sebagai sandaran untuk bersumpah untuk perkara-perkara yang benar ataupun yang batil. Ini kerana dalam perbuatan terlalu banyak bersumpah itu terkandung di dalamnya makna perbuatan mempermain-mainkan nama Allah swt, sedangkan kita sepatutnya memelihara dan menjauhkan diri daripada perbuatan sebegitu rupa.

Mengaitkannya dengan sifat kehinaan
Al-Quran juga ada mengaitkan keadaan orang yang terlalu banyak bersumpah dengan sifat kehinaan atau sifat banyak berdusta. Ini boleh kita lihat melalui firmannya:
وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَهِينٍ
Bermaksud: “Dan janganlah kamu patuh kepada orang yang terlalu banyak bersumpah”. (surah al-Qalam: ayat 10)

Perkataan حلاف di dalam ayat ini membawa maksud orang yang banyak bersumpah dalam perkara sahih ataupun batil.(Al-Razi, jld30: 603). Ayat ini diturunkan untuk menerangkan berkenaan sifat musuh Allah yang bernama al- Walid bin Mughirah. Ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini diturunkan berkenaan al-Akhnas bin Syurayq. Kedua-dua individu ini merupakan musuh-musuh yang kuat menentang dan memerangi Rasulullah sallallahu a’laihi wa sallam. (Sayyid Qutb, jilid16: 303-304). Sayyid Qutb ketika mentafsirkan ayat ini berkata:
 “Dia seorang yang banyak bersumpah, dan orang yang banyak bersumpah itu menandakan dia seorang yang tidak bercakap benar. Dia sedar bahawa orang ramai tidak percaya kepadanya, kerana itu dia banyak bersumpah untuk melindungi pembohongannya dan menarik kepercayaan mereka”. (Sayyid Qutb, jilid16: 304).

Di dalam ayat ini, al-Quran mengaitkan kalimah مهين dengan kalimah حلاف  membuktikan bahawa orang yang banyak bersumpah hatta dalam perkara dusta sekalipun dia berani bersumpah, maka ini adalah salah satu sifat yang buruk dan terhina. Al-Quran mengeji orang yang terlalu banyak bersumpah kerana perbuatan golongan seperti ini seolah-olah membuktikan bahawa mereka tidak merasai keagungan dan kebesaran Allah. Sifat ini juga merupakan ibu segala kejahatan. Hatta dalam keadaan seorang yang banyak bersumpah dalam perkara kebenaran juga dicela kerana ia seolah-olah mempermain-mainkan nama Allah subhanahu wa ta’ala, apatah orang yang bersumpah dalam perkara dusta lebih-lebih lagi tercela. (al-Alusi, jilid15: 31).

Di sini juga kita melihat bagaimana al-Quran mengaitkan antara orang yang banyak bersumpah dengan sifat banyak berdusta, dan mengaitkan keduanya dengan kehinaan di kalangan manusia. (al-Razi, jld30: 603).  Sayyid Qutb berkata lagi berkenaan perkara ini dengan katanya:
 “Dia seorang yang hina. Dia tidak menghormati dirinya dan orang ramai tidak menghormatinya. Dia tidak mempercayai dirinya dan orang ramai juga tidak percaya kepadanya”. (Sayyid Qutb, jilid 16: 304).

 Oleh itu, orang yang terlalu banyak bersumpah sebenarnya tahu bahawa orang lain hanya akan mempercayainya sekiranya sekiranya dia bersumpah, dan dia sendiri tahu bahawa dia sebenarya berdusta dalam banyak perkara. Ini merupakan sifat kehinaan yang nyata apabila tidak mendapat kepercayaan dari masyarakat apatah lagi diri sendiri.

Justeru sebagai seorang muslim yang mengakui dan mengagungkan kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala, seharusnya kita memelihara nama Allah subhanahu wa ta’ala daripada dipersenda-sendakan serta mengelakkan diri dari terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah subhanahu wa ta’ala sama ada apa yang disumpahkan itu benar ataupun dusta. Ini kerana orang yang sedikit bersumpah membuktikan bahawa mereka sangat berjaga-jaga dalam menggunakan nama Allah subhanahu wa ta’ala terutama di dalam sumpah mereka kerana orang yang menjaga nama Allah subhanahu wa ta’ala dan memuliakannya adalah termasuk golongan orang yang mulia. Adapun orang yang sewenang-wenangnya bersumpah dengan nama Allah subhanahu wa ta’ala dalam perkara dusta seolah-olah mereka tidak memuliakan nama Allah subhanahu wa ta’ala malah cuba mempersenda-sendakan dan mempergunakan nama Allah untuk kepentingan sendiri.

Kedua: Bersumpah dalam perkara yang diharuskan dan perlu
Walaupun al-Quran memberitahu kepada kita supaya tidak terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah subhanahu wa ta’ala,  tidaklah bermakna bahawa Allah subhanahu wa ta’ala melarang kita untuk melaksanakan sumpah secara mutlak. Ini kerana di dalam al-Quran terdapat beberapa ayat  yang menceritakan tentang  perintah daripada Allah subhanahu wa ta’ala kepada Rasulullah sallallahu a’laihi wa sallam supaya bersumpah dengan nama-Nya, tetapi sumpah tersebut bukanlah sumpah yang tiada tujuan bahkan disertakan dengan tujuan dan matlamat.      

Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya, terdapat tiga ayat di mana Allah subhanahu wa ta’ala memerintahkan Rasul-Nya agar bersumpah dengan nama Allah swt:  
Ayat pertama:
َويَسْتَنْبِئُونَكَ أَحَقٌّ هُوَ قُلْ إِي وَرَبِّي إِنَّهُ لَحَقٌّ وَمَا أَنْتُمْ بِمُعْجِزِينَ
Maksudnya:  dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Adakah kedatangan azab Yang dijanjikan itu benar? "Jawablah: "Ya, Demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya". (Surah yunus:ayat53)

Ayat kedua:
زَعَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ لَنْ يُبْعَثُوا قُلْ بَلَى وَرَبِّي لَتُبْعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِمَا عَمِلْتُمْ وَذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
Maksudnya:  (di antara sebab-sebab kufur) orang-orang Yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan Bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (Sesudah mati). katakanlah: "Bahkan, Demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang Segala Yang kamu telah kerjakan. dan Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (surah at-Taghabun: ayat7)

Ayat ketiga:
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَأْتِينَا السَّاعَةُ قُلْ بَلَى وَرَبِّي لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَالِمِ الْغَيْبِ لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Maksudnya: dan orang-orang Yang kafir berkata:"hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku Yang mengetahui Segala perkara Yang ghaib, hari kiamat itu Sesungguhnya akan datang kepada kamu". tiada tersembunyi dari pengetahuannya barang seberat debu Yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada Yang lebih kecil dari itu atau Yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di Dalam Kitab Yang terang nyata. (surah Saba’: ayat 3).

Ketiga-tiga ayat di atas merupakan perintah Allah subhanahu wa ta’ala kepada Rasulullah sallallahu a’laihi wa sallam agar bersumpah dengan nama Allah atas kebenaran wujudnya hari kebangkitan dan hari kiamat. Ia juga bagi tujuan menolak hujah golongan yang ingkar terhadap kebenaran ini. Mereka yang ingkar ini adalah orang-orang kafir, munafik dan musyrik. (Ibn Kathir, jilid6: 495). Mereka tidak mempercayai adanya hari kiamat,  pada hari ketika mereka semua akan dibangkitkan semula setelah mati dan dibangkitkan kembali dari kubur. Tidak cukup dengan itu, malah mereka mempersenda-sendakan Rasulullah sallallahu a’laihi wa sallam dengan mengajukan pertanyaan demi pertanyaan, lalu Allah subhanahu wa ta’ala memerintahkan Rasul-Nya agar bersumpah dengan nama Allah bahawa semua yang diperkatakan itu adalah hakikat yang pasti akan berlaku.

Oleh itu, apabila Allah memerintahkan Rasulullah  sallallahu a’laihi wa sallam supaya bersumpah dengan nama-Nya, ia bukanlah sebuah sumpah yang sia-sia dan tidak bermatlamat. Daripada apa yang terkandung di dalam al-Quran, dapat kita ketahui bahawa perbuatan bersumpah tidaklah dilarang secara mutlak malahan ia diharuskan untuk perkara yang berkaitan dengan agama, akidah dan keimanan. Sebagai contohnya di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan saksi atau menuntut hak dalam harta, kita dibolehkan untuk menggunakan sumpah kerana ia merupakan salah satu perkara yang berkaitan dengan agama dan ada maslahah (kepentingan) untuk kehidupan setiap Muslim.

Tulisan asal:
Panduan al-Quran Berkaitan Perlaksanaan Sumpah
Norwardatun Mohamed Razali
UIAM

Pengertian Sumpah



Di dalam bahasa arab, sumpah dikenali sebagai al-Yamin (اليمين). Dari segi bahasa, al-Yamin membawa beberapa maksud; antaranya adalah tangan kanan, kekuatan, kudrat, kedudukan yang baik atau mulia. (Feiruz Aabadi, jld5: 406). Penggunaan al-Yamin di dalam bahasa arab sinonim erti dengan perkataan al-Qasam (القسم), al-Halaf (الحلف) dan al-Ila’ (الإيلاء). (al-Razi, jld6: 428).

Dari segi istilah pula, ulama’memberikan pengertian berbeza dalam menta’rifkan sumpah. Ibn ‘Abidin menta’rifkan al-Yamin sebagai sebuah a’qad (ikatan) yang kuat yang mana orang yang bersumpah berazam untuk melakukannya atau meninggalkannya. (Ibn A’bidin, jld3:702-703). Penulis kitab at-Taj wa al-Iklil menta’rifkan al-Yamin adalah mentahqiqkan apa yang tidak wajib dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala atau sifat-Nya. (al-Gharnathi, jld4:396). Asy-Syarbini pula menta’rifkan al-Yamin adalah mentahqiq suatu perkara yang tidak sabit (tidak kukuh), yang telah berlaku atau akan berlaku, menafikan atau mensabitkan (mengukuhkan), suatu yang boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan, suatu yang benar atau dusta dalam keadaan seseorang itu tahu atau jahil mengenainya. (As-Syarbini, jld6: 180).

Daripada beberapa ta’rif di atas dapat disimpulkan bahawa al-Yamin atau sumpah itu terkandung di dalamnya beberapa perkara:
Pertama: Sumpah adalah untuk menguatkan sesuatu dengan menyebut nama Allah Subhanahu wa ta’ala atau sifat-Nya. Oleh kerana itu, disyaratkan untuk disebut di dalam lafaz sumpah: “Wallahi (والله) , Wabillahi (وبالله), atau watallahi (وتالله) atau selain darinya selagi mana lafaz sumpah itu mempunyai lafaz nama Allah Subhanahu wa ta’ala atau salah satu sifat dari sifat-sifat-Nya.

Kedua: Kewujudan niat dan azam ketika melafazkan sumpah menjadikan pembahagian sumpah terbahagi kepada dua: al-yamin al-mun’aqadah (اليمين المنعقدة) dan al-yamin ghair al-mun’aqadah (اليمين غير المنعقدة). Al-yamin al-mun’aqadah berlaku ketika wujudnya niat atau azam untuk melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu, ketika berlaku sumpah dengan niat dan jika dia tidak melaksanakan atau meninggalkan sumpahnya, maka wajib ke atasnya kafarah. Adapun al-yamin ghair al-mun’aqadah tiada kafarah sekiranya tidak melaksanakan atau meninggalkan apa yang disumpahkannya.

Ketiga: al-Yamin adalah untuk menguatkan sesuatu sama ada untuk menguatkan perkara yang sudah berlaku ataupun yang akan datang, untuk menafikan atau mengisbatkan sesuatu. Oleh itu, termasuk di dalam perkara ini  jenis-jenis sumpah yang lain seperti al-yamin al-ghumus (sumpah dusta), al-ilaa’, al-li’an dan lain-lain. 

Tulisan asal: 
Panduan al-Qur'an Berkaitan Perlaksanaan Sumpah
Norwardatun Mohamed Razali
Universiti islam Antarabangsa Malaysia

Sunday, May 20, 2012

Mahram yang diharamkan berkahwin untuk selama-lamanya


Pengharaman ini boleh berlaku dengan tiga sebab:

1.      Haram disebabkan keturunan (nasab)
a.       Bapa atau ibu kandung dan ke atas: iaitu bapa kepada bapa atau ibu kandung.
b.      Anak kandung ke bawah: termasuklah anak lelaki/perempuan kepada anak kandung lelaki/perempuan (cucu, anak kepada cucu dan seterusnya).
c.       Adik beradik lelaki/perempuan seibu sebapa: termasuklah adik beradik seibu sahaja, atau sebapa sahaja.
d.      Anak kepada adik beradik lelaki/perempuan (anak saudara)
e.      Adik beradik lelaki/perempuan kepada ibubapa kandung (pakcik/makcik).

2.      Haram disebabkan penyusuan
a.    Suami kepada ibu susuan
b.    Anak kandung kepada ibu susuan
c.     Anak kepada adik beradik lelaki dan perempuan susuan
d.    Adik beradik lelaki dan perempuan kepada ibubapa susuan.

3.      Haram disebabkan perkahwinan: (Pengharaman ini adalah selama-lamanya, tidak boleh berkahwin walaupun sudah berlaku perceraian)
a.       Suami kepada ibu kandung/ isteri kepada bapa kandung (yang baru dikahwini)
b.      Suami kepada anak perempuan/ isteri kepada anak lelaki (menantu)
c.       Bapa kepada suami/ ibu kepada isteri (mertua)
d.      Anak lelaki kepada suami yang baru dikahwini/ Anak perempuan kepada isteri yang baru dikahwini (anak tiri)


Friday, May 18, 2012

Permulaan

بسم الله الرحمن الرحيم

InsyaAllah.. Sebagai permulaan, blog ini akan diisi dengan ayat-ayat hukum sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran. Ia masih di tahap perancangan. Melihatkan masyarakat berhajat kepada sesuatu yang mudah, ringkas dan cepat, saya mengambil alternatif ini untuk menyampaikan. Moga ada manfaat untuk yang memerlukan. 

Semuanya dari Allah, dan tiada satu pun dari saya. 
Moga Allah bantu dalam urusan kita semua mengejar akhirat.
InsyaAllah ameen.