i.
Selepas sumpah berlaku
Al-Quran juga menggariskan panduan selepas berlakunya
sumpah iaitu; yang pertama ialah perintah supaya tidak menyalahi atau
mengingkari sumpah yang telah dibuat, dan yang kedua ialah larangan menjadikan
sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebajikan.
Pertama: Perintah supaya tidak melanggar
sumpah yang telah dilafazkan
Apabila seseorang melafazkan sumpah dengan nama Allah,
secara automatik seseorang itu telah menyandarkan perkataannya kepada Allah
bahawa apa yang dikatakan itu benar, ataupun dia telah berjanji bahawa dia akan
melakukan apa yang dia perkatakan. Terdapat ayat al-Quran yang menunjukkan
bahawa apabila seseorang telah melafazkan sumpah, dia dilarang untuk melanggar
atau mengingkari sumpahnya. Ini sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah subhanahu
wa ta’ala:
وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ
إِذَا عَاهَدْتُمْ وَلَا تَنْقُضُوا الْأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ
اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلًا إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
Maksudnya: “dan
sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu
berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu
menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai
Penjamin kebaikan kamu; Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa Yang kamu
lakukan.” (surah an-Nahl: ayat 91).
Ayat ini diturunkan kepada ahli Madinah yang telah berbai’ah
(mengikat perjanjian) dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Mereka diperintahkan untuk tidak mengingkari bai’ah tersebut dan diperkukuhkan
lagi janji tersebut dengan sumpah ke atas diri mereka sendiri, dan supaya
mereka tidak membatalkan sumpah mereka dan melakukan pendustaan serta
menyalahinya. (at-Tabari, jilid17: 281).
Ibnu kathir menjelaskan maksud الْأَيْمَان di dalam ayat ini
bermaksud sumpah yang terkandung di dalam perjanjian. (Ibn Kathir, jilid4:
598). Imam al-Alusi mengatakan bahawa ‘العهد’ di dalam ayat di atas mempunyai
kebangkalian membawa maksud sumpah sepertimana disebut dalam tafsirnya: berlaku
pengulangan di dalam ayat ini antara perintah menepati janji dan larangan
menyalahi sumpah adalah saling berkait, ini kerana perintah untuk melakukan
sesuatu lazimnya membawa maksud larangan untuk meninggalkannya. (Imam al-Alusi,
jilid7: 457). Imam al-Baidhawi
pula menyebut secara mutlak bahawa maksud ‘الأيمان’ di dalam ayat di atas
ialah أيمان البيعة (sumpah yang
berlaku di dalam perjanjian). (al-Baidhawi, jilid3: 238).
Melalui penafsiran para ulama tafsir berkenaan ayat di
atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran melarang seseorang menyalahi
sumpahnya atau membatalkan sumpahnya sekiranya dia telah melafazkan sumpah tersebut
sama ada sumpahnya itu untuk mengukuhkan sesuatu perjanjian, ataupun untuk
membuktikan sesuatu yang diperkatakan itu adalah benar. Ini kerana apabila
seseorang telah menyandarkan perkataannya atau perjanjiannya dengan nama Allah,
maka dia tidak boleh menyalahinya kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa
seseorang itu telah mempermain-mainkan nama Allah SWT yang mulia sedangkan
tidak sepatutnya kita sebagai hamba-Nya memperlakukan sebegitu.
Kedua: Larangan untuk menjadikan sumpah
sebagai penghalang untuk melakukan kebajikan
Di dalam al-Quran terdapat larangan menjadikan sumpah yang sudah dilafazkan itu
sebagai penghalang untuk kita melakukan kebaikan atau kebajikan. Apa yang
dimaksudkan dengan kebaikan atau kebajikan
ialah segala perbuatan yang mendekatkan diri kita kepada Allah swt
seperti membantu orang lain, menghubungkan silaturrahin dan sebagainya. Allah
swt telah menyebut berkenaan perkara ini di dalam firman-Nya:
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا
وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: (dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam
sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan
bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan (ingatlah),
Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui. (surah
al-Baqarah:ayat224)
Sepertimana yang disebut di awal artikel, ayat ini
mengandungi dua maksud. Yang pertama membawa maksud larangan terlalu banyak bersumpah dengan nama
Allah dalam semua perkara yang benar ataupun batil. Yang kedua membawa maksud
larangan menjadikan sumpah atau nama Allah sebagai penghalang untuk seseorang
itu melakukan kebaikan atau kebajikan.
Di dalam kata lain, Allah memberitahu kepada kita bahawa
apabila kita bersumpah, janganlah sehingga sumpah kita itu dijadikan
sebagai alasan untuk kita tidak berbuat
baik kepada orang lain ataupun tidak melakukan kebajikan yang mendekatkan diri
kita kepada Allah swt.
Imam at-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini
berkata: “Dan janganlah kamu jadikan nama Allah sebagai ‘illah atau alasan,
lalu apabila salah seorang daripada kamu mahukan kebaikan dan islah di antara
manusia dia berkata: ‘aku telah bersumpah dengan nama Allah untuk tidak
melakukannya (kebaikan yang dituntut)’, lalu dia menjadikan sumpahnya sebagai
sebab untuk meninggalkan perbuatan baik tersebut”. (At-Tabari, jilid4:
419).
Justeru, perbuatan menjadikan sumpah sebagai penghalang
untuk melakukan kebaikan adalah dilarang sama sekali. Ini kerana di dalam ayat
ini Allah menyebutkan 3perkara yang mana ketiga-tiga perbuatan ini merupakan
perkara yang sukar untuk manusia lakukan iaitu berbuat baik, bertaqwa dan
mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan orang yang menjadikan nama
Allah sebagai penghalang untuk berbuat kebaikan seolah-olah dia menjadikan
Allah sebagai penghalang di antara dirinya dan perbuatan baik tersebut
sedangkan Allah adalah pemilik segala kebaikan dan Allah menghendaki supaya manusia
memelihara perbuatan baik, taqwa dan mengislahkan manusia. Oleh kerana itulah
Allah melarang seseorang daripada menjadikan sumpah sebagai penghalang dalam
melakukan kebaikan. (as-Sya’rawi, jilid2: 970-971).
Percanggahan antara dua perintah
Di dalam perkara ini, seolah-olah wujud perselisihan
ataupun percanggahan di antara dua perkara. Pertama adalah berkenaan dengan
perintah Allah supaya tidak melanggar sumpah setelah seseorang bersumpah dengan
nama Allah. Perkara kedua adalah berkenaan dengan larangan menjadikan sumpah
sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, lalu jika dia telah
bersumpah maka dia perlu membatalkan sumpahnya dengan membayar kaffarah.
Secara zahirnya, terdapat percanggahan diantara kedua-dua
perintah ini. Tetapi jika diamati, sebenarnya setiap perintah mempunyai kondisi
dan keadaan yang berbeza. Antara dalil yang menunjukkan bahawa tiada
percanggahan di antara kedua perintah ini adalah seperti berikut:
Pertama: Ayat
pertama dari surah an-Nahl:ayat 91 merupakan sumpah yang terkandung di
dalam sesuatu perjanjian. Apabila seseorang melakukan perjanjian dengan pihak
lain serta dikuatkan dengan sumpah yang disandarkan dengan nama Allah, maka dia
tidak boleh melanggar penjanjiannya dengan pihak yang telah disepakatinya. Dan
ayat ini hanya berlaku dalam konteks perjanjian, tidak dalam perkara lain
seperti bersumpah untuk menggalakkan sesuatu atau melarang sesuatu.
Kedua: ayat yang memerintahkan supaya memelihara sumpah
seperti yang disebut dalam surah al-Maidah: ayat 89 ialah dalam konteks perintah
apabila seseorang melanggar sumpah hendaklah dia tidak meninggalkan sumpahnya
tanpa membayar atau melaksanakan kaffarah setelah itu. (Ibn Kathir,
jilid4:598). Oleh itu, dibolehkan meninggalkan atau mambatalkan sumpah dengan
syarat dia mestilah membayar kaffarah terhadap sumpah yang telah
dimungkiri atau dibatalkan tersebut.
Ketiga: Saidina Abu Bakar Radiyallahu a’nhu pernah
bersumpah untuk tidak memberi perbelanjaan kepada Misthah bin Uthatah lagi
setelah dia terlibat bersama beberapa orang yang menyebarkan berita fitnah ke
atas Sayyidatina Aisyah Radiyallahu anha. Beliau telah bersumpah dengan
nama Allah untuk tidak lagi menginfakkan harta kepada Misthah tetapi setelah
Allah swt menurunkan ayat 22 dari surah an-Nur, beliau telah membatalkan sumpahnya dengan
mengembalikan semula nafkah kepada Misthah sepertimana biasa. (al-Bukhari,
Hadith no. 6679, jilid 8: 137). Apa yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar Radiyallahu
‘anhu menunjukkan bahawa sumpah boleh dibatalkan sekiranya sumpah itu
menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan.
Oleh itu, penulis melihat bahawa tiada percanggahan yang
wujud antara perintah untuk tidak melanggar sumpah dengan larangan untuk tidak
menjadikan sumpah sebagai penghalang seseorang melakukan kebaikan.
Kesimpulannya, sekiranya seseorang telah bersumpah maka
dia tidak boleh membatalkan sumpahnya kecuali sekiranya ia merupakan perkara
yang menghalang seseorang untuk berbuat kebaikan dan mendekatkan diri kepada
Allah. Apabila seseorang telah membatalkan sumpahnya, dia hendaklah
melaksanakan kaffarah dengan
memilih salah satu dari empat perkara iaitu memberi makan 10 orang fakir
miskin, memberi mereka pakaian atau memerdekakan hamba. Sekiranya tidak mampu
untuk melaksanakan ketiga-tiga perkara ini, maka seseorang itu dibolehkan untuk
berpuasa selama 3hari berturut-turut.
Tulisan asal:
Panduan al-Quran Berkaitan Perlaksanaan Sumpah
Norwardatun Mohamed Razali
UIAM