Friday, November 2, 2012

Perlaksanaan Sumpah 3 : Selepas Sumpah Berlaku


        i.            Selepas sumpah berlaku
Al-Quran juga menggariskan panduan selepas berlakunya sumpah iaitu; yang pertama ialah perintah supaya tidak menyalahi atau mengingkari sumpah yang telah dibuat, dan yang kedua ialah larangan menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebajikan.

Pertama: Perintah supaya tidak melanggar sumpah yang telah dilafazkan
Apabila seseorang melafazkan sumpah dengan nama Allah, secara automatik seseorang itu telah menyandarkan perkataannya kepada Allah bahawa apa yang dikatakan itu benar, ataupun dia telah berjanji bahawa dia akan melakukan apa yang dia perkatakan. Terdapat ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa apabila seseorang telah melafazkan sumpah, dia dilarang untuk melanggar atau mengingkari sumpahnya. Ini sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala:
وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدْتُمْ وَلَا تَنْقُضُوا الْأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلًا إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
Maksudnya“dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa Yang kamu lakukan.” (surah an-Nahl: ayat 91).

Ayat ini diturunkan kepada ahli Madinah yang telah berbai’ah (mengikat perjanjian) dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka diperintahkan untuk tidak mengingkari bai’ah tersebut dan diperkukuhkan lagi janji tersebut dengan sumpah ke atas diri mereka sendiri, dan supaya mereka tidak membatalkan sumpah mereka dan melakukan pendustaan serta menyalahinya. (at-Tabari, jilid17: 281).

Ibnu kathir menjelaskan maksud الْأَيْمَان di dalam ayat ini bermaksud sumpah yang terkandung di dalam perjanjian. (Ibn Kathir, jilid4: 598). Imam al-Alusi mengatakan bahawa ‘العهد’ di dalam ayat di atas mempunyai kebangkalian membawa maksud sumpah sepertimana disebut dalam tafsirnya: berlaku pengulangan di dalam ayat ini antara perintah menepati janji dan larangan menyalahi sumpah adalah saling berkait, ini kerana perintah untuk melakukan sesuatu lazimnya membawa maksud larangan untuk meninggalkannya. (Imam al-Alusi, jilid7: 457).  Imam al-Baidhawi pula menyebut secara mutlak bahawa maksud ‘الأيمان’ di dalam ayat di atas ialah أيمان البيعة  (sumpah yang berlaku di dalam perjanjian). (al-Baidhawi, jilid3: 238).

Melalui penafsiran para ulama tafsir berkenaan ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran melarang seseorang menyalahi sumpahnya atau membatalkan sumpahnya sekiranya dia telah melafazkan sumpah tersebut sama ada sumpahnya itu untuk mengukuhkan sesuatu perjanjian, ataupun untuk membuktikan sesuatu yang diperkatakan itu adalah benar. Ini kerana apabila seseorang telah menyandarkan perkataannya atau perjanjiannya dengan nama Allah, maka dia tidak boleh menyalahinya kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa seseorang itu telah mempermain-mainkan nama Allah SWT yang mulia sedangkan tidak sepatutnya kita sebagai hamba-Nya memperlakukan sebegitu.

Kedua: Larangan untuk menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebajikan
Di dalam al-Quran terdapat larangan  menjadikan sumpah yang sudah dilafazkan itu sebagai penghalang untuk kita melakukan kebaikan atau kebajikan. Apa yang dimaksudkan dengan kebaikan atau kebajikan  ialah segala perbuatan yang mendekatkan diri kita kepada Allah swt seperti membantu orang lain, menghubungkan silaturrahin dan sebagainya. Allah swt telah menyebut berkenaan perkara ini di dalam firman-Nya:
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: (dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui. (surah al-Baqarah:ayat224)

Sepertimana yang disebut di awal artikel, ayat ini mengandungi dua maksud. Yang pertama membawa maksud  larangan terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah dalam semua perkara yang benar ataupun batil. Yang kedua membawa maksud larangan menjadikan sumpah atau nama Allah sebagai penghalang untuk seseorang itu melakukan kebaikan atau kebajikan.

Di dalam kata lain, Allah memberitahu kepada kita bahawa apabila kita bersumpah, janganlah sehingga sumpah kita itu dijadikan sebagai  alasan untuk kita tidak berbuat baik kepada orang lain ataupun tidak melakukan kebajikan yang mendekatkan diri kita kepada Allah swt.

Imam at-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: “Dan janganlah kamu jadikan nama Allah sebagai ‘illah atau alasan, lalu apabila salah seorang daripada kamu mahukan kebaikan dan islah di antara manusia dia berkata: ‘aku telah bersumpah dengan nama Allah untuk tidak melakukannya (kebaikan yang dituntut)’, lalu dia menjadikan sumpahnya sebagai sebab untuk meninggalkan perbuatan baik tersebut”. (At-Tabari, jilid4: 419).

Justeru, perbuatan menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan adalah dilarang sama sekali. Ini kerana di dalam ayat ini Allah menyebutkan 3perkara yang mana ketiga-tiga perbuatan ini merupakan perkara yang sukar untuk manusia lakukan iaitu berbuat baik, bertaqwa dan mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan orang yang menjadikan nama Allah sebagai penghalang untuk berbuat kebaikan seolah-olah dia menjadikan Allah sebagai penghalang di antara dirinya dan perbuatan baik tersebut sedangkan Allah adalah pemilik segala kebaikan dan Allah menghendaki supaya manusia memelihara perbuatan baik, taqwa dan mengislahkan manusia. Oleh kerana itulah Allah melarang seseorang daripada menjadikan sumpah sebagai penghalang dalam melakukan kebaikan. (as-Sya’rawi, jilid2: 970-971).

Percanggahan antara dua perintah
Di dalam perkara ini, seolah-olah wujud perselisihan ataupun percanggahan di antara dua perkara. Pertama adalah berkenaan dengan perintah Allah supaya tidak melanggar sumpah setelah seseorang bersumpah dengan nama Allah. Perkara kedua adalah berkenaan dengan larangan menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, lalu jika dia telah bersumpah maka dia perlu membatalkan sumpahnya dengan membayar kaffarah.  

Secara zahirnya, terdapat percanggahan diantara kedua-dua perintah ini. Tetapi jika diamati, sebenarnya setiap perintah mempunyai kondisi dan keadaan yang berbeza. Antara dalil yang menunjukkan bahawa tiada percanggahan di antara kedua perintah ini adalah seperti berikut:
Pertama:  Ayat pertama dari surah an-Nahl:ayat 91 merupakan sumpah yang terkandung di dalam sesuatu perjanjian. Apabila seseorang melakukan perjanjian dengan pihak lain serta dikuatkan dengan sumpah yang disandarkan dengan nama Allah, maka dia tidak boleh melanggar penjanjiannya dengan pihak yang telah disepakatinya. Dan ayat ini hanya berlaku dalam konteks perjanjian, tidak dalam perkara lain seperti bersumpah untuk menggalakkan sesuatu atau melarang sesuatu.

Kedua: ayat yang memerintahkan supaya memelihara sumpah seperti yang disebut dalam surah al-Maidah: ayat 89 ialah dalam konteks perintah apabila seseorang melanggar sumpah hendaklah dia tidak meninggalkan sumpahnya tanpa membayar atau melaksanakan kaffarah setelah itu. (Ibn Kathir, jilid4:598). Oleh itu, dibolehkan meninggalkan atau mambatalkan sumpah dengan syarat dia mestilah membayar kaffarah terhadap sumpah yang telah dimungkiri atau dibatalkan tersebut.

Ketiga: Saidina Abu Bakar Radiyallahu a’nhu pernah bersumpah untuk tidak memberi perbelanjaan kepada Misthah bin Uthatah lagi setelah dia terlibat bersama beberapa orang yang menyebarkan berita fitnah ke atas Sayyidatina Aisyah Radiyallahu anha. Beliau telah bersumpah dengan nama Allah untuk tidak lagi menginfakkan harta kepada Misthah tetapi setelah Allah swt menurunkan ayat 22 dari surah an-Nur, beliau  telah membatalkan sumpahnya dengan mengembalikan semula nafkah kepada Misthah sepertimana biasa. (al-Bukhari, Hadith no. 6679, jilid 8: 137). Apa yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar Radiyallahu ‘anhu menunjukkan bahawa sumpah boleh dibatalkan sekiranya sumpah itu menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan.

Oleh itu, penulis melihat bahawa tiada percanggahan yang wujud antara perintah untuk tidak melanggar sumpah dengan larangan untuk tidak menjadikan sumpah sebagai penghalang seseorang melakukan kebaikan.

Kesimpulannya, sekiranya seseorang telah bersumpah maka dia tidak boleh membatalkan sumpahnya kecuali sekiranya ia merupakan perkara yang menghalang seseorang untuk berbuat kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah. Apabila seseorang telah membatalkan sumpahnya, dia hendaklah melaksanakan kaffarah  dengan memilih salah satu dari empat perkara iaitu memberi makan 10 orang fakir miskin, memberi mereka pakaian atau memerdekakan hamba. Sekiranya tidak mampu untuk melaksanakan ketiga-tiga perkara ini, maka seseorang itu dibolehkan untuk berpuasa selama 3hari berturut-turut.

Tulisan asal:
Panduan al-Quran Berkaitan Perlaksanaan Sumpah
Norwardatun Mohamed Razali
UIAM


No comments:

Post a Comment