Di antara hukum yang dijelaskan terperinci berkaitan
mu’amalat di kalangan manusia di dalam al-Qur’an adalah perlaksanaan sumpah.
Al-Qur’an berperanan sebagai petunjuk dan hidayah buat umat manusia seluruhnya.
Ketika mana seseorang mahu melaksanakan sesuatu perkara, dia perlu kembali
kepada al-Quran supaya dia tidak lari dari garis panduan yang telah ditetapkan
oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Para Fuqaha’ telah membincangkan dengan panjang lebar
berkaitan perlaksanaan sumpah dari segi hukum, pembahagiannya dan penjelasan
tentang kaffarah secara terperinci di dalam empat mazhab. Ini kerana fuqaha’ lebih kepada
mengeluarkan hukum bagi sesuatu perkara. Adapun perbicangan dari sudut bagaimana
al-Quran mendidik masyakat dengan memberi kefahaman yang jelas berkaitan sumpah
tidaklah dibincangkan begitu meluas terutamanya bagaimana adab kita selaku
hamba Allah Subhanahu wa ta’ala ketika
menyandarkan kata-kata kita kepada sebuah sumpah yang terikat dengan nama Allah
Subhanahu wa ta’ala yang Mulia.
Apabila kita merujuk al-Quran, perlaksanaan sumpah ini
tidak lari daripada tiga keadaan; sebelum berlaku sumpah, ketika berlaku sumpah
dan selepas berlaku sumpah. Dalam setiap kondisi atau keadaan ini, al-Quran
memberikan panduannya yang tersendiri untuk membolehkan kita beramal dengan
betul tanpa melebihi batas panduan yang telah ditetapkan.
i.
Sebelum berlakunya sumpah
Sebelum seseorang melafazkan atau mahu menyandarkan
kata-katanya dengan sumpah yang terikat dengan nama Allah Subhanahu wa
ta’ala, al-Quran telah menggariskan beberapa panduan berkaitan dengannya.
Penulis dapati terdapat dua perkara yang menjadi asas atau pengetahuan kepada
seseorang sebelum dia melaksanakan sumpah.
Pertama: Mengelakkan diri dari bersumpah
dengan nama Allah
Apabila seseorang bersumpah, dia telah menyandarkan
kata-katanya dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala, sedangkan nama Allah
Subhanahu wa ta’ala itu seharusnya dipelihara daripada unsur-unsur dipermain-mainkan
atau gurau senda.
Terdapat ayat al-Quran di mana Allah Subhanahu wa
ta’ala melarang manusia untuk terlalu
banyak bersumpah kerana ia boleh membawa kepada mempermain-mainkan nama Allah
Subhanahu wa ta’ala. Ini adalah sepertimana yang disebut di dalam
firman-Nya:
وَلَا
تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا
وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “(dan janganlah kamu jadikan nama) Allah
Dalam sumpah kamu sebagai benteng Yang menghalangi kamu daripada berbuat baik
dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan
(ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui.” (surah
al-Baqarah:ayat 224)
Ahli bahasa mentafsikan kalimah العرضة membawa dua maksud:
Pertama : (المانع) penghalang
Kedua : terlalu
banyak menyebut. (Ibn Manzur, Jld7:178)
Adapaun ahli tafsir ketika mentafsirkan ayat ini mereka
juga menfsirkan dengan dua maksud; maksud yang pertama ialah janganlah
menjadikan nama Allah sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan dan maksud
yang kedua adalah jangan kamu terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah dalam
perkara yang benar dan batil. Ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh Imam
al-Alusi dan Imam al-Razi serta ahli tafsir yang lain.
Imam al-Alusi ketika mentafsirkan ayat di atas menyebut
bahawa kalimah العرضة membawa dua maksud, dan salah satunya ialah: “Dan
janganlah kamu menjadikan Allah sandaran untuk sumpahmu sehingga dengannya
menyebabkan kamu bermain-main dengan banyak bersumpah pada semua perkara yang
benar ataupun batil kerana ia adalah satu bentuk daripada mempermainkan nama
Allah swt”. (al-Aalusi, jld1: 520)
Imam al-Razi pula mengaitkan perbuatan banyak bersumpah
ini dengan perbuatan mempermain-mainkan nama Allah: “Allah melarang
mempermain-mainkan nama-Nya dengan terlalu banyak bersumpah”. (al-Razi, jld
6:424).
Daripada ayat yang disebutkan di atas jelas menunjukkan
kepada kita bahawa Allah subhanahu wa
ta’ala melarang kita daripada menggunakan nama-Nya sebagai sandaran untuk
bersumpah untuk perkara-perkara yang benar ataupun yang batil. Ini kerana dalam
perbuatan terlalu banyak bersumpah itu terkandung di dalamnya makna perbuatan
mempermain-mainkan nama Allah swt, sedangkan kita sepatutnya memelihara dan
menjauhkan diri daripada perbuatan sebegitu rupa.
Mengaitkannya dengan sifat kehinaan
Al-Quran juga ada mengaitkan keadaan orang yang terlalu
banyak bersumpah dengan sifat kehinaan atau sifat banyak berdusta. Ini boleh
kita lihat melalui firmannya:
وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَهِينٍ
Bermaksud: “Dan janganlah kamu patuh kepada orang yang
terlalu banyak bersumpah”. (surah al-Qalam: ayat 10)
Perkataan حلاف di dalam ayat ini
membawa maksud orang yang banyak bersumpah dalam perkara sahih ataupun
batil.(Al-Razi, jld30: 603). Ayat ini diturunkan untuk menerangkan berkenaan
sifat musuh Allah yang bernama al- Walid bin Mughirah. Ada juga pendapat yang
mengatakan ayat ini diturunkan berkenaan al-Akhnas bin Syurayq. Kedua-dua
individu ini merupakan musuh-musuh yang kuat menentang dan memerangi Rasulullah
sallallahu a’laihi wa sallam. (Sayyid Qutb, jilid16: 303-304). Sayyid
Qutb ketika mentafsirkan ayat ini berkata:
“Dia seorang yang
banyak bersumpah, dan orang yang banyak bersumpah itu menandakan dia seorang
yang tidak bercakap benar. Dia sedar bahawa orang ramai tidak percaya
kepadanya, kerana itu dia banyak bersumpah untuk melindungi pembohongannya dan
menarik kepercayaan mereka”. (Sayyid Qutb, jilid16: 304).
Di dalam ayat ini, al-Quran mengaitkan kalimah مهين dengan kalimah حلاف membuktikan bahawa orang yang banyak bersumpah
hatta dalam perkara dusta sekalipun dia berani bersumpah, maka ini adalah salah
satu sifat yang buruk dan terhina. Al-Quran mengeji orang yang terlalu banyak
bersumpah kerana perbuatan golongan seperti ini seolah-olah membuktikan bahawa
mereka tidak merasai keagungan dan kebesaran Allah. Sifat ini juga merupakan
ibu segala kejahatan. Hatta dalam keadaan seorang yang banyak bersumpah dalam
perkara kebenaran juga dicela kerana ia seolah-olah mempermain-mainkan nama
Allah subhanahu wa ta’ala, apatah orang yang bersumpah dalam perkara
dusta lebih-lebih lagi tercela. (al-Alusi, jilid15: 31).
Di sini juga kita melihat bagaimana al-Quran mengaitkan
antara orang yang banyak bersumpah dengan sifat banyak berdusta, dan mengaitkan
keduanya dengan kehinaan di kalangan manusia. (al-Razi, jld30: 603). Sayyid Qutb berkata lagi berkenaan perkara ini
dengan katanya:
“Dia seorang
yang hina. Dia tidak menghormati dirinya dan orang ramai tidak menghormatinya.
Dia tidak mempercayai dirinya dan orang ramai juga tidak percaya kepadanya”. (Sayyid
Qutb, jilid 16: 304).
Oleh itu, orang
yang terlalu banyak bersumpah sebenarnya tahu bahawa orang lain hanya akan
mempercayainya sekiranya sekiranya dia bersumpah, dan dia sendiri tahu bahawa
dia sebenarya berdusta dalam banyak perkara. Ini merupakan sifat kehinaan yang
nyata apabila tidak mendapat kepercayaan dari masyarakat apatah lagi diri
sendiri.
Justeru sebagai seorang muslim yang mengakui dan mengagungkan
kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala, seharusnya kita memelihara nama
Allah subhanahu wa ta’ala daripada dipersenda-sendakan serta mengelakkan
diri dari terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah subhanahu wa ta’ala
sama ada apa yang disumpahkan itu benar ataupun dusta. Ini kerana orang yang
sedikit bersumpah membuktikan bahawa mereka sangat berjaga-jaga dalam
menggunakan nama Allah subhanahu wa ta’ala terutama di dalam sumpah
mereka kerana orang yang menjaga nama Allah subhanahu wa ta’ala dan
memuliakannya adalah termasuk golongan orang yang mulia. Adapun orang yang
sewenang-wenangnya bersumpah dengan nama Allah subhanahu wa ta’ala dalam
perkara dusta seolah-olah mereka tidak memuliakan nama Allah subhanahu wa
ta’ala malah cuba mempersenda-sendakan dan mempergunakan nama Allah untuk
kepentingan sendiri.
Kedua: Bersumpah dalam perkara yang diharuskan
dan perlu
Walaupun al-Quran memberitahu kepada kita supaya tidak
terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah subhanahu wa ta’ala, tidaklah bermakna bahawa Allah subhanahu
wa ta’ala melarang kita untuk melaksanakan sumpah secara mutlak. Ini kerana
di dalam al-Quran terdapat beberapa ayat
yang menceritakan tentang perintah
daripada Allah subhanahu wa ta’ala kepada Rasulullah sallallahu
a’laihi wa sallam supaya bersumpah dengan nama-Nya, tetapi sumpah tersebut
bukanlah sumpah yang tiada tujuan bahkan disertakan dengan tujuan dan matlamat.
Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya, terdapat tiga
ayat di mana Allah subhanahu wa ta’ala memerintahkan Rasul-Nya agar
bersumpah dengan nama Allah swt:
Ayat pertama:
َويَسْتَنْبِئُونَكَ أَحَقٌّ هُوَ قُلْ إِي وَرَبِّي
إِنَّهُ لَحَقٌّ وَمَا أَنْتُمْ بِمُعْجِزِينَ
Maksudnya: dan
mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (Wahai
Muhammad): "Adakah kedatangan azab Yang dijanjikan itu benar?
"Jawablah: "Ya, Demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! dan kamu
tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya". (Surah
yunus:ayat53)
Ayat kedua:
زَعَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ لَنْ يُبْعَثُوا قُلْ بَلَى
وَرَبِّي لَتُبْعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِمَا عَمِلْتُمْ وَذَلِكَ عَلَى اللَّهِ
يَسِيرٌ
Maksudnya: (di
antara sebab-sebab kufur) orang-orang Yang kafir (ialah kerana mereka)
mengatakan Bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (Sesudah mati).
katakanlah: "Bahkan, Demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan
diberitahu tentang Segala Yang kamu telah kerjakan. dan Yang demikian itu
adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (surah at-Taghabun: ayat7)
Ayat ketiga:
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَأْتِينَا السَّاعَةُ قُلْ
بَلَى وَرَبِّي لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَالِمِ الْغَيْبِ لَا يَعْزُبُ عَنْهُ
مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِنْ
ذَلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Maksudnya: dan orang-orang Yang kafir
berkata:"hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami". Katakanlah
(Wahai Muhammad): "Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku Yang mengetahui
Segala perkara Yang ghaib, hari kiamat itu Sesungguhnya akan datang kepada
kamu". tiada tersembunyi dari pengetahuannya barang seberat debu Yang ada
di langit atau di bumi, dan tidak ada Yang lebih kecil dari itu atau Yang lebih
besar melainkan semuanya tertulis di Dalam Kitab Yang terang nyata. (surah
Saba’: ayat 3).
Ketiga-tiga ayat di atas merupakan perintah Allah subhanahu
wa ta’ala kepada Rasulullah sallallahu a’laihi wa sallam agar
bersumpah dengan nama Allah atas kebenaran wujudnya hari kebangkitan dan hari
kiamat. Ia juga bagi tujuan menolak hujah golongan yang ingkar terhadap
kebenaran ini. Mereka yang ingkar ini adalah orang-orang kafir, munafik dan
musyrik. (Ibn Kathir, jilid6: 495). Mereka tidak mempercayai adanya hari kiamat, pada hari ketika mereka semua akan
dibangkitkan semula setelah mati dan dibangkitkan kembali dari kubur. Tidak
cukup dengan itu, malah mereka mempersenda-sendakan Rasulullah sallallahu
a’laihi wa sallam dengan mengajukan pertanyaan demi pertanyaan, lalu Allah subhanahu
wa ta’ala memerintahkan Rasul-Nya agar bersumpah dengan nama Allah bahawa
semua yang diperkatakan itu adalah hakikat yang pasti akan berlaku.
Oleh itu, apabila Allah memerintahkan Rasulullah sallallahu a’laihi wa sallam supaya
bersumpah dengan nama-Nya, ia bukanlah sebuah sumpah yang sia-sia dan tidak
bermatlamat. Daripada apa yang terkandung di dalam al-Quran, dapat kita ketahui
bahawa perbuatan bersumpah tidaklah dilarang secara mutlak malahan ia
diharuskan untuk perkara yang berkaitan dengan agama, akidah dan keimanan.
Sebagai contohnya di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan saksi atau menuntut
hak dalam harta, kita dibolehkan untuk menggunakan sumpah kerana ia merupakan
salah satu perkara yang berkaitan dengan agama dan ada maslahah (kepentingan) untuk
kehidupan setiap Muslim.
Tulisan asal:
Panduan al-Quran Berkaitan Perlaksanaan Sumpah
Norwardatun Mohamed Razali
UIAM
No comments:
Post a Comment